Friday, June 26, 2009

1986

Hampir 2 dekat bermesra
Menyusur jalan2 DIA
Namun ujub tak pernah disapa
melainkan merendah diri jua

Telah longgar kedut2 itu
Telah layu matamu, dan
telah sayu suaramu
mendamping Raja segala Raja

Kusyukuri nikmat Sang Raja
Mengirim "cermin" insani
Buat mengingati diri ini
yang baru lagi awami.

Al Faqir Alallah
Kajang-9 Zulkaedah 1429

Friday, June 5, 2009

Semalam aku mimpi bapa

Semalam aku mimpi bapa
berdua kami mendayung perahu
bersama kami mengharung lautan
Masih jauhkah perjalanan?

Semalam aku mimpi bapa
berdua kami menjaring udang
bersama kami mengutip udang
udang segar putih bersih
bersihkah bekalan itu?

Semalam aku mimpi bapa
berdua kami kepenatan
bersamanya kuurut belakang
lelah lesu kepenatan
Penatkah bapa merambah jalanNYA?

Semalam aku mimpi bapa
mengeluh dia tentang rezekinya
kesihan belas aku melihat
Putus asakah bapa di jalan itu?

Malam ini ku ingat bapa
ingin aku bermimpikan bapa
buat bertanyakan padanya
Sudahkah bapa sampai ke hadratNYA?

Anakmu Fakir
24 Syawal 1429
Bapa,
khabarkan kepadaku berita tentang DIA
Sang Raja segala Raja
bersemayam di negeri Allah

Ingin aku bertanyakan
apakah erti cinta ini
maka katanya, perbanyakkanlah rasa itu
sebagai memenuhi janji kita

Ketika hati mengintai
ketika maut menghampar
sejadah usang usah dilipat
agar bisa jadi saksi tepat

Katakan Allah itu tuhanku
talqinkan lailahaillAllah
sehingga merungkainya simpaian kemanusiaan
buat bekal anak ini
berjalan menuju kampung abadi
buat bersamamu Abi Azmi.

19 Zulkaedah 1429-Kajang.

Azwa (Sajak Sufi buat isteri)

Azwa,
Jika engkau belum punya apa
maka ambillah jalan ini
kerana ia jalan nabi
bisa membawa pada ilahi

Azwa,
Jika engkau belum kenal dia
maka ingatlah janji kita
tika bersaksi di hadapanNYA
sebelum masuk ke alam dunia

Azwa,
Jika engkau masih tetap lupa
labuhkan bahtera ke "lautan zikrullah"
buat merungkai lapisan amarah
bisa nanti hatimu mengintip cahayaNYA

Azwa,
Jika engkau ingin ke sana
kan kusiramkan doa ketulusan
dari kekeasih ke kekasih buat KEKASIH
semoga kau bergelar Azwa Al muthoharah.

BB Bangi
28 Ramadhan 1429

Lahir

"Alastu birobbikum, qolu bala syahidna"
Pernah kali kudengar
tapi di mana ya?

Terpempan jiwa membaca
Serunai fakir merenggut ingatan terus kepadaNYA

Rahim ummi dulu duniaku
aman, damai bersama zikirNYA
mengganding Sang Maha Pencipta
Allah, Allah, Allah itu saja di ingatan

Subuh Jumaat 20 Jun 1969
Ketika azan subuh menjulang kebesaranNYA
pagi itu lahirlah dia

Allah, Allah, Allah, masihkah bergandingan?
Selamat datang wahai insan
Alam baru menyambut ketibaan
Rahim ummiku sudah kutinggalkan..


19 Syawal 1429

Sunday, November 16, 2008

Telah bergetar tulang temulang
telah bergelayut kulit wajah
telah kabur basyar indah
sekian lama dimamah usia

yang tinggal hanya
zikir qalbi berpelamin indah
di sudut taman hati
dihias ingat pada hi rabbi

Juga basyirah pengganti ainun
memberi beza hukum serta kanun
agar warak tidak tercampak nun

Maka jiwa tenang ini
kembali sambil redha dan diredhai
buat meninggal penjara dunia
memenuhi hati dgn Pengasih

Apa jua yg merasuk hati
pasti dipenggal dgn pedang tauhid
hingga Allah sahaja yang bersemayam di hati

Saturday, November 15, 2008

Anak Kecil Ihya Al Quran ( Sajak untuk Ilham Hafiz)

Anak kecil , mukaddam koyak rabak
melangkah lesu merintis kalam suci
a, i, u, e o; ba, bi bu be bo.

Tiga tahun lamanya
berjihad diri demi memahir kalam hi rabbi
sudah cukup mejemput bosan
namun anak kecil terus jua
besimba bis mim alif lam lam ha...

Meninggal mata benda
merebut rezeki tetapan ilahi
Kerana Sang Maha Pemurah
tentu pasti membimbing.
merentas jambatan 30 juzuk
Sehingga anak kecil bisa meyenandungkan
Tilawah merdu bertaranum tartil

Ustazah tersenyum bangga
Ibu tersenyum tanda syukur
Anak kecil pasrah dgn takdirNYA
Jambatan itu kini telah dilintasinya.